PUSAT ANAK PERMATA NEGARA KOTA SAMARAHAN

PUSAT ANAK PERMATA NEGARA KOTA SAMARAHAN

Ahad, 1 Ogos 2010

Sukaneka dan Hari Keluarga


Pada 1 Ogos 2010 (Ahad), diadakan sukaneka dan hari keluarga yang bertempat di PAPN. Sambutan daripada semua keluarga sangat menggalakkan. Terdapat banyak sumbangan makanan, minuman, hadiah, hamper, duit dan banner yang diberikan oleh ibu bapa bagi menjayakan program ini. Pihak PAPN dan PIBP ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala sumbangan yang diberikan.

Acara bermula dengan pendaftaran semua keluarga. Pendaftaran bermula dengan mengisi borang pendaftaran, pembahagian kumpulan dan mendapatkan nombor cabutan bertuah. Cabutan bertuah diadakan selang masa di antara acara yang diadakan.


Apabila semua keluarga telah datang, semua keluarga berkumpul di bahagian belakang PAPN. Cikgu Dayang dan Encik Ambran merupakan pengacara majlis bagi aktiviti ini. Acara diteruskan dengan bacaan doa oleh Encik Taip sebagai memulakan dan membuka majlis. Seterusnya ucapan oleh pengerusi PIBP, Encik Shbini.

Aktiviti diteruskan dengan tarian poco-poco yang diketuai oleh Puan Rosmie. Tarian poco-poco ini dilakukan bersama-sama semua pendidik, anak-anak PERMATA dan keluarga masing-masing.


Seterusnya aktiviti bagi anak-anak 1-2 tahun iaitu mengisi air di dalam baldi menggunakan span. Acara ini dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melancarkan perjalanan pertandingan dan memudahkan para pengadil mengadilinya.



Acara bagi anak-anak 2-3 tahun pula adalah meniup tepung untuk mendapatkan gula di dalam tepung. Ibu bapa turut menemani anak-anak untuk melakukan acara ini.



Acara bagi anak-anak 3-4 tahun pula membawa bola di dalam sudip. Bagi acara ini, terdapat pusingan saringan dan pusingan akhir untuk mendapatkan pemenangnya.



Bagi acara keluarga, acara yang dijalankan adalah menghias pakaian anak menggunakan surat khabar. Ibu bapa dikehendaki menggunakan surat khabar yang disediakan dan menjadikannya pakaian anak-anak secara tanpa bantuan alatan lain seperti gunting dan selotap. Setelah selesai acara ini, semua pihak menjamu selera terlebih dahulu sebelum meneruskan acara yang seterusnya.


Acara seterusnya adalah acara membawa bola di belakang badan secara berpasangan iaitu ibu bapa. Acara ini juga mempunyai pusingan saringan dan pusingan akhir untuk mendapatkan pemenangnya.


Acara seterusnya adalah bermain kerusi muzik bagi ibu bapa, ahli keluarga dan para pendidik. Acara ini dijalankan sehingga mendapat seorang pemenang.



Aktiviti penutup adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang dan cenderahati kepada semua yang terlibat sepanjang program dijalankan.


Setelah selesai program dijalankan, semua pihak bersama-sama membersihkan dan mengemas kawasan PAPN sebelum bersurai. Terima kasih di atas kerjasama, sumbangan dan penglibatan semua pihak bagi menjayakan program ini. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi dan mungkin akan mendapat nafas baru yang akan membantu lebih memeriahkan lagi program hari keluarga dan sukaneka seperti ini.





0 ulasan:

Catat Ulasan

 

PERMATA Kota Samarahan Copyright © 2010 - 2013

:: Weblog ini dikendalikan oleh Cik Ainul Ashiqin Mohammad ::
:: PENAFIAN / DISCLAIMER ::
Sebarang muaturun samada grafik,aplikasi,borang atau sebarang bahan adalah tanggungjawab sendiri.
Pihak webmaster PAPNKS tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang berlaku ketika
menggunakan maklumat di dalam laman web ini.
:: HARAP MAKLUM ::