PUSAT ANAK PERMATA NEGARA KOTA SAMARAHAN

PUSAT ANAK PERMATA NEGARA KOTA SAMARAHAN

Selasa, 5 Januari 2010

Utusan Malaysia (5 Januari 2010 / 19 Muharam 1431)
RENCANA

Setiap anak permata negara

BARU-BARU ini penulis dan beberapa orang rakan diberikan kesempatan mengendali satu program untuk semua pendidik dan pembantu pendidik program Permata dari seluruh Malaysia.


Program Permata lahir daripada buah fikiran Datin Seri Rosmah Mansor. Beliau merupakan pencetus idea projek tersebut pada tahun 2006 sehingga tertubuhnya Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanan-Kanak Negara (NCDRC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 21 Jun 2007.


Permata menekankan kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara terancang serta bersepadu.


Mengenai program untuk pendidik dan pembantu pendidik Permata dari seluruh Malaysia itu, ia diadakan untuk menyemai semangat kerjasama kepada semua peserta.


Dari segi psikologinya bukan mudah untuk menambat hati anak-anak kecil. Setiap anak-anak pasti mempunyai kerenah yang amat berbeza dan boleh mengubah persepsi orang dewasa kepada sesuatu yang melucukan dan merimaskan.


Apa yang membezakan hanyalah kemahiran, dedikasi, perawakan dan kesabaran. Pada hemat penulis, pasti proses pemilihan pendidik telah dilakukan dengan amat teliti oleh pihak Kementerian Pelajaran dan beberapa agensi terlibat.


Dalam soal pemilihan pendidik yang 'mendiskriminasikan' kaum lelaki, ia adalah tindakan yang penulis amat bersetuju.


Kita pernah mendengar 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya.' Beberapa negara maju yang pernah penulis lawati mendapati bahawa mereka telah memilih calon pendidik daripada mereka yang memiliki ijazah sarjana muda, sarjana sehinggalah doktor falsafah (Ph.D) untuk mendidik anak-anak pra-sekolah.


Penulis terkejut kerana mereka telah mengamalkan apa yang budaya kita sarankan. Lebih daripada itu, dengan mengambil calon terbaik untuk pendidikan awal, ia akan memastikan asas-asas pendidikan awal terjamin.


Satu perkara yang penulis amat perhatikan adalah intonasi dan nada suara peserta-peserta yang amat sesuai dengan tugasan sebagai pendidik. Mereka boleh membuat set induction yang kena pada tempatnya, hanya dengan nada suara yang tepat.


Setiap anak adalah permata negara. Kita tentu sedih apabila terpampang di dada akhbar, ada anak yang telah dibuang dan dihurung burung gagak. Betapa malangnya nasib bayi tersebut. Bayi-bayi itu lebih malang daripada anak-anak yatim.


Ini kerana kita tidak sempat untuk menawarkan yang 'terbaik' kepada mereka. Namun bagi anak-anak yang sempat bersama kita, mereka juga boleh dihurung gagak-gagak hanya kerana keangkuhan dan kedegilan kita.


Jika ada program yang baik untuk anak-anak kita, berilah sokongan, biar siapa pun yang menganjurkan dan atas sebarang alasan sekalipun.


Alangkah baiknya jika kita menyumbang untuk penambahbaikan. Jika program ini dikatakan menelan duit, tunggulah nanti apabila buluh telah menjadi kukuh, pada waktu itu biar segunung wang yang diberikan untuk merawat, ia tetap sukar.


Jangan jadikan anak-anak kita tawanan dan tebusan untuk diri kita. Berterima kasihlah kerana sekurang-kurangnya ada pihak yang jelas nampak peri pentingnya permata negara.


PENULIS ialah Perunding Psikologi


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

PERMATA Kota Samarahan Copyright © 2010 - 2013

:: Weblog ini dikendalikan oleh Cik Ainul Ashiqin Mohammad ::
:: PENAFIAN / DISCLAIMER ::
Sebarang muaturun samada grafik,aplikasi,borang atau sebarang bahan adalah tanggungjawab sendiri.
Pihak webmaster PAPNKS tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang berlaku ketika
menggunakan maklumat di dalam laman web ini.
:: HARAP MAKLUM ::